Tuesday, 8 May 2012

WARGA EMAS MAUT DIBAHAM ANJING KETIKA BERJOGGING

image PILU...ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat mangsa dibungkus anggota polis. Gambar kecil, Yip.

SUBANG JAYA: “Saya tumbuk anjing itu tiga kali, tapi ia tidak melepaskan gigitan di leher mangsa,” kata lelaki dikenali sebagai Eddy yang juga saksi seorang warga emas mati akibat dibaham seekor anjing ketika berjoging di kawasan rumahnya di SS19/5B, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa, Yip Sin Hua, 74, mati di tempat kejadian selepas parah di leher manakala telinganya hancur akibat gigitan anjing jenis Miniature Bull Terrier Cross yang terlepas keluar melalui tempat membuang sampah rumah pemiliknya di kawasan perumahan sama.
Yip gemar berjoging di kawasan perumahan itu sejak lebih 20 tahun lalu dan semalam, ketika melalui jalan di tempat kejadian yang hampir dengan rumahnya di SS19/5E, dia diserang seekor anjing.
Eddy, 44, berkata, dia melalui jalan berkenaan dengan menaiki kereta dan terkejut apabila melihat seorang warga emas bergelut dengan seekor anjing.

“Saya memberhentikan kereta dan turun untuk membantu. Selepas usaha saya menumbuk haiwan itu tiga kali gagal, saya kembali ke kereta untuk mengambil kayu. Ketika itu datang seorang wanita dan dia memukul anjing itu beberapa kali dengan meja kayu.

PEMUDA CUBA BUNUH DIRI DI JAMBATAN PULAU PINANG KERANA PUTUS CINTA

PEMUDA CUBA BUNUH DIRI

GEORGETOWN: “Ketika saya mendekatinya, dia menjerit sambil berdiri di tepi jambatan untuk terjun.

“Saya hampiri lelaki itu dan cuba memujuk sebelum dia meminta saya hubungi bekas kekasihnya bagi memaklumkan tindakannya itu.”

Itu kata Ho Leng Hong, 24, saksi kejadian yang berusaha menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 7.8, menghala ke Butterworth di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lelaki terbabit berusia 20-an dari Taman Merak, Simpang Ampat, dekat sini, cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang selepas kecewa akibat putus cinta.

Ho berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke Kulim, Kedah dan mendapati orang ramai berusaha menyelamatkan seorang lelaki yang berdiri di tepi jambatan.

Monday, 7 May 2012

LELAKI NEPAL MABUK TIDUR SEKATIL DENGAN POLIS

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dari Flet Awam Jalan Hiliran di sini, terkejut apabila terjaga daripada tidur awal pagi semalam dan mendapati seorang warga Nepal yang dipercayai mabuk tidur sekatil dengan mereka.


Kehadiran suspek disedari mangsa yang juga anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 4.15 pagi selepas anak mereka yang berusia dua tahun menangis kerana dihimpit suspek yang tidur sekatil bersama keluarga berkenaan.


Suspek berusia 31 tahun yang dipercayai mabuk menceroboh masuk rumah anggota polis terbabit sebelum tertidur bersama keluarga terbabit.
Anggota terbabit dipercayai masuk tidur bersama isteri dan anaknya berusia dua tahun kira-kira jam 1.20 pagi tetapi terjaga apabila mendengar tangisan anaknya yang dipercayai berasa tidak selesa akibat dihimpit suspek.


Sebaik terjaga, mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek sedang lena tidur di katilnya, menahan lelaki itu dan memaklumkan kepada Rakan Cegah Jenayah Terengganu sebelum dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi di sini, semalam, berkata, suspek yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar raya ini dipercayai tersilap masuk ke kediaman mangsa akibat mabuk.
Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu utama sebelum tidur di bilik sama dengan keluarga terbabit.

Sunday, 6 May 2012

NENEK BUTA PANCING IKAN KELI GERGASI

KELI GERGASI

GAMBAR yang disiarkan di akhbar daily Telegraph menunjukkan Penfold bergambar dengan ikan keli yang ditangkapnya.

BARCELONA – Seorang nenek berusia 54 tahun dari Britain dan buta sebelah matanya, Sheila Penfold mencipta rekod untuk wanita apabila dia berjaya memancing seekor ikan keli terbesar seberat 97 kilogram (kg) di Sepanyol, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.

Dia yang dibantu suaminya, Alan, dan anaknya, Arthur memancing ikan, mengambil masa selama 30 minit bergelut untuk menariknya ke atas tebing semasa dia memancing di Sungai Ebro dekat sini baru-baru ini.

Jawatankuasa Rekod Perikanan Britain mengesahkan, tangkapan itu adalah yang paling besar dilakukan oleh seorang wanita Britain mengatasi rekod sebelum ini oleh Bev Street, 46, yang pernah memancing ikan keli dengan berat 32kg.

Ia juga merupakan rekod bagi wanita yang memancing ikan di Sepanyol namun keluarga itu melepaskan ikan tersebut kembali ke dalam sungai.

Keluarga tersebut yang tinggal di Wandsworth, London mendakwa ikan keli itu berukuran 2.48 meter panjang dan mereka memancing dari tebing sungai dengan menggunakan tiga batang joran yang berasingan. – Agensi

kredit : kosmo.com.my

MAYAT TERGANTUNG DAN MAYAT TANPA KEPALA

MAYAT TERGANTUNG

BANDAR RAYA MEXICO - Sembilan mayat ditemui tergantung di sebuah jambatan di bandar Nuevo Laredo, dalam negeri Tamaulipas di timur laut Mexico, lapor media tempatan.

Laporan berkenaan yang memetik kenyataan pihak berkuasa, menyatakan terdapat kesan penyeksaan pada mayat lima lelaki dan empat wanita terbabit dengan mata mereka turut ditutup.

Bandar Nuevo Laredo dihuni oleh 370,000 penduduk dan terletak tidak jauh dari bandar Laredo di sebelah sempadan Amerika Syarikat.

Pada hari yang sama, polis turut menemui 14 mayat tanpa kepala di dalam sebuah kenderaan di pusat bandar ini.

Polis kemudian menemui kepala-kepala mangsa di dalam beberapa bekas ais di luar bangunan majlis perbandaran Nuevo Laredo.

Identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.

Polis percaya pembunuhan kejam itu mempunyai kaitan dengan sengketa beberapa kartel dadah yang beroperasi di bandar berkenaan.

Lebih 50,000 orang terbunuh sejak lima tahun lalu dalam jenayah terancang di Mexico. - Kosmo